Thursday, April 05, 2007

Hidup untuk memberi

"Tidak susah untuk menggembirakan orang lain,walau hanya kata-kata 
atau sekadar senyuman mahupun sebuah doa ianya sudah cukup
untuk menggembirakan mereka."

Begitulah pesan tok su kepadaku,saat ini kata tok su ramai orang yang gagal dalam hidup kerana lebih mementingkan bagaimanakah cara untuk mendapatkan berbanding cara untuk memberi sedangkan kata tok su "Memberi itu tidak akan mengurangkan bahkan tambah menambahkan" kerana sudah menjadi sunnatullah orang yang berjaya pada tahap "biasa-biasa" sahaja adalah orang yang membawa hanya dirinya seorang sahaja yang berjaya tetapi orang yang membawa orang lain berjaya bersamanya merupakan orang-orang yang berjaya pada tahap luar biasa.Ini adalah hakikat yang bukan sahaja boleh dilihat dari sudut material,malah dari sudut ilmu,iman dan takwa.Orang yang beriman,bertakwa dan berilmu ialah orang yang membawa orang lain bertakwa,beriman dan berilmu bersamanya.

Kemudian tok su bertanya kepadaku."Bagaimanakah cara untuk membawa orang lain berjaya bersama kita?"tapi ku tak mampu untuk menjawab persoalan tok su itu.Lantas tok su menjawab "untuk membawa orang berjaya bersama kita,kita hendaklah selalu mengamalkan sikap memberi" yakni dalam erti kata lain kita perlu memberikan ilmu,pimpinan,panduan dan kemahiran terhadap orang disekeliling kita dan jangan bakhil menabur kebaikan serta pecayalah,dengan memberi kepada orang lain itu adalah bermakna kita memberi kepada diri kita sendiri.

Cerita tok su lagi,dalam kisah hidup Rasulullah s.a.w, Baginda banyak memberikan panduan kepada kita tentang cara bagaimana memberikan tenaga, harta malah jiwa melalui perjuangannya membawa umat manusia mendapat hidayah islam bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w ialah tabligh yakni bererti menyampaikan.Apa saja yang Baginda terima sebagai wahyu daripada Allah swt akan terus disampaikan kepada umatnya tanpa menyembunyikan hatta satu ayat pun.Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w merakamkan Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang bahkan semasa susah yakni sewaktu susah,Rasulullah s.a.w memberi penuh kesabaran dan sewaktu senang,memberi dengan penuh kesyukuran.

Dalam adab pergaulan sekalipun,kita digalakkan untuk memberi salam sebaik bertemu dengan saudara seislam kita.Memberi salam bererti kita "memberi" doa demi kesejahteraan saudara kita.Begitu juga bila kita menjawab salam,kita membalas pemberian doa itu dengan satu doa yang setimpal malah kita digalakkan sering berziarah yang mana memerlukan masa,wang dan tenaga,memberi hadiah,mengucapkan tahniah,menyampaikan takziah dan lain-lain perlakuan yang bersifat memberi.Begitulah cerita panjang lebar tok su kepadaku yang amat menarik hatiku untuk terus menemaninya sambil mendengar cerita.




Thursday, February 15, 2007

Doa diberi Rahmat dan Petunjuk

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami!,kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami".
Al-Kahfi:10

Sunday, February 04, 2007

Pertarungan jiwa.

Wahai diriku,tahukah engkau bahawa manusia sering menghadapi pertarungan dalam dirinya sehinggalah ia kalah atau menang,atau terus menghadapi pertarungan itu.Pertarungan ini adalah pertarungan yang sengit dan berterusan hingga nafas yang terakhir.

Tiga golongan manusia yang sedang menghadapi pertarungan jiwa itu ialah;

1. Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsunya.Mereka merupakan golongan yang tunduk kepada dunia dan kekal dalam keduniaan.

2. Golongan yang berjihad melawan dirinya,bertarung memerangi hawa nafsu dan kadangkala menang dan kadangkala kalah.Taktala mereka melakukan kesilapan mereka bertaubat,dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun kepada Allah swt.

3. Golongan orang-orang maksum,seperti pada Rasul dan para Nabi.

Sendi-sendi kekuatan dalam pertarungan Jiwa.

1.Hati. Ia akan menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup,lembut,cekal dan sentiasa mengingati kata-kata Ali bin Abi Talib k.w.h."Allah mempunyai bejana di bumi ini iaitu hati dan hati yang paling Allah swt kasihi ialah hati yang paling lembut,paling bersih dan paling cekal."kemudian Ali menerangkan maksud perkataanya dengan mengatakan;"Paling cekal dalam beragama,paling bersih dalam keyakinannya dan paling lembut terhadap saudaranya."

2.Akal.Ia akan menjadi sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiaranya akal itu dapat melihat,mengetahi sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat menyedut sesuatu daripada ilmu yag kelak akan digunakan untuk mencapai tempat yang paling hampir dengan Allah swt,mengetahui kekuatan dan kebesaran Allah swt.

Panduan dalam islam yang menggariskan cara untuk menghadapi cabaran-cabaran syaitan dan fantasi iblis untuk membantu manusia bertahan dalam pertarungan dengan syaitan.Dan sesungguhnya syaitan memasuki hati manusia melalui sepuluh pintu antaranya;

1. Tamak dan jahat sangka.lantas engkau hadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.

2. Cintakan hidup dan panjang angan-angan.Lantas engkau hadapinya dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.

3. Cintakan kesenangan dan nikmat.Lantas engkau hadapinya dengan menyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan menyakini balasan buruk.

4. Kagum pada diri sendiri.(Ujub) Lantas engkau hadapinya dengan mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah swt dan takutkan balasan seksaan.

5. Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lantas engkau hadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

6. Hasad dengki.Lantas engkau hadapinya dengan sifat qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan redha terhadap pemberian Allah swt kepada makhluknya.

7. Riya' dan sukakan pujian manusia.Lantas engkau hadapinya dengan sifat ikhlas.

8. Bakhil. Lantas engkau hadapinya dengan menyakini bahawa apa yang ada di tangan itu akan binasa sedang apa yang ada disisi Allah swt itu kekal.

9.Takabbur Lantas engkau hadapinya dengan sifat tawadhu'(merendah diri).

10.Tamak. Lantas engkau hadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah swt dan tidak mengharapkan sesutau yang ada pada manusia.