Wednesday, February 03, 2010

Hakikat Kehidupan Duniawi

Kebahagian itu tidak diukur berdasarkan harta yang kita miliki di dunia yang mana secara zahirnya lebih bersifat sementara kerana ukuran kebahagiaan itu ada didalam Kitab Allah swt yang agung dan segala sesuatu itu ada didalam kualiti zikir kepada Yang Maha Bijaksana.Dialah yang menetapkan segala sesuatu,nilai dan balasannya kepada hamba,baik ketika masih di dunia mahupun ketika di akhirat kelak.

Wahai diriku yang sering lemah dalam perjuangan mencari cintaNya,mengenali cintaNya,bulatkanlah tekadmu dan majulah kehadapan kerana petunjuk itu ada di jalan mereka yang mencarinya.Peningkatan ilmu akan menambahkan sifat kerendahan hati didalam dirimu serta rasa belas kasihan,ibarat mutiara yang mahal harganya yang mana semakin nilainya bertambah besar maka semakin dalam tempatnya di dasar lautan.Dan ingatlah sesungguhnya Allah swt akan mengangkat darjat seorang hamba jika ia mensyukuri dan menerima bahawa ilmu itu adalah anugerah yang dengannya Allah swt sedang mengujinya.

Ketahuilah wahai diriku bahawa semakin bertambah amal perbuatanmu,maka semakin akan bertambah pula kewaspadaamu dan rasa takutmu kepada Allah swt kerana selamanya engkau tidak pernah akan merasa aman dari ketergelinciran,salah bicara dan perbuatan niat kalbu yang mengancam dirimu kerana saat engkau sedang menghisab dirimu,engkau akan merasakan bahawa dirimu akan sentiasa diawasi Allah swt yang tidak ubah seperti burung yang sangat berwaspada setiap kali hinggap di satu dahan ke dahan yang lain kerana takut terhadap si pemburu dan bidikanya.

Wahai diriku,fahamilah bahawa kebahagiaan di akhirat itu sangat bergantung pada kebahagiaan di dunia kerana kehidupan dunia adalah saling berhubung kait dengan kehidupan di akhirat sana yang sebenarnya adalah sebahagian dari yang kehidupan yang satu.Yang ghaib dan yang tampak,dunia dan akhirat,kini dan esok itu sebenarnya adalah satu.Oleh itu wahai diriku,janganlah engkau hanya mengira bahawa kehidupanmu hanyalah setakat didunia sahaja yang kerana itu engkau menimbun hartamu dengan sebanyak-banyaknya tanpa engkau memikirkan bahawa tika kematian memanggilmu,segala angan-angan dan cita-citamu akan hanya tersimpan didalam dada.

wahai diriku..
Engkau berangkat di waktu bila pun
Demi keperluanmu
Padahal keperluaan hidup manusia itu
tiada habisnya..

Ikut mati bersama keperluanmu
sementara keperluan yang lain belum engkau penuhi
masih tetap bersamamu

Putaran masa..
dari pagi hingga ke petang 
membuat yang kecil menjadi dewasa
yang tua menjadi tutup usia
bila malam telah sampai ke penghujungnya
dan esok adalah hari yang baru..


"....dan tiada seorang pun  yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok.Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia  akan mati..."(Luqman:34)

Wahai diriku,
Antara tiga perkara yang harus engkau tanyakan pada dirimu tentang hakikat antaranya:
1.Bila engkau memperkirakan engkau akan mendapatkan ketenangan dan ketenteraman jika engkau belum  redha dengan Allah swt,dengan hukum-hukum,perbuatan-perbuatan,qadha' dan qadarnya: dan belum redha dengan rezeki dan kurnia yang Allah swt berikan kepadamu?

2. Apakah engkau mensyukuri semua nikmat kurnia dan pelbagai kebaikan yang diberikan sehingga kini engaku meminta dan menuntut yang lain?.Orang yang tidak mampu mensyukuri yang sedikit saja akan lebih tidak  mampu mensyukuri yang lebih banyak lagi.

3. Mengapa engkau tidak mengambil faedah dari apa yang Allah swt telah anugerahkan kepada engkau?agar engkau dapat mengembangkannya dan mengefektifkannya,membersihkannya dari semua kekejian dan kotoran dan selanjutanya engkau dapat memberi manfaat dan anugerah serta pengaruh  yang berberkas kepada dirimu?.